ad
AGENDA

Rakyat Malaysia miliki visa umrah, pelancong dinasihat keluar Makkah sebelum musim haji

29 Apr 2025, 2:20 PM
Rakyat Malaysia miliki visa umrah, pelancong dinasihat keluar Makkah sebelum musim haji

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MADINAH, 29 APRIL: Rakyat Malaysia yang memegang visa umrah atau visa pelancong, dinasihatkan segera meninggalkan Makkah sebelum musim haji, bagi mengelakkan berdepan tindakan tegas kerajaan Arab Saudi.

Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah Roslan Sharif berkata individu yang masih ingkar dan menunaikan haji tanpa permit sah, bakal berdepan tindakan termasuk penahanan, pengusiran serta disenarai hitam selain denda sehingga RM20,000 bagi setiap individu.

“Bagi syarikat atau agensi pelancongan yang terlibat, jumlah denda boleh mencecah sehingga RM100,000, selain beberapa sekatan lain termasuk pelucutan aset dan barangan yang digunakan dalam pelanggaran tersebut,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Justeru, Roslan menyeru kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji, agar memastikan mereka memperoleh visa haji sah melalui saluran rasmi seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

“Gunakanlah platform yang diiktiraf bagi tujuan pendaftaran dan pelaksanaan ibadah haji dan elakkan terlibat atau bersubahat dengan pihak yang cuba membawa jemaah tanpa visa sah,” katanya.

Roslan berkata jemaah tanpa visa haji, tidak mempunyai akses kepada kemudahan asas yang disediakan untuk jemaah berdaftar termasuk perkhidmatan perubatan, makanan, tempat penginapan di Arafah dan Mina serta bimbingan ibadah.

Beliau berkata perkara itu bukan sahaja membahayakan diri, malah boleh menimbulkan situasi tidak terkawal yang mengganggu jemaah lain, dan Islam mengajar umatnya untuk menghormati undang-undang dan menjaga integriti, lebih-lebih lagi dalam melaksanakan ibadah suci seperti haji.

Roslan berkata selepas hari ini, kemasukan ke Makkah hanya dibenarkan kepada pemegang visa haji yang sah sahaja dan sebarang pengeluaran visa melalui Nusuk juga dihentikan serta-merta.

“Saya juga ingin mengingatkan umat Islam di Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan sesetengah agensi pelancongan yang menjanjikan pelbagai jenis visa untuk menunaikan haji.

“Ini kerana saban tahun banyak laporan kes jemaah haji Malaysia terkandas di tanah air mahupun di tanah suci, tidak dapat menunaikan haji kerana tidak mempunyai visa haji sah,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.