ad
AGENSI

KDEBWM peruntuk RM400 juta ganti lori roro baharu, tingkat kecekapan urus sampah

29 Apr 2025, 10:00 AM
KDEBWM peruntuk RM400 juta ganti lori roro baharu, tingkat kecekapan urus sampah
KDEBWM peruntuk RM400 juta ganti lori roro baharu, tingkat kecekapan urus sampah
KDEBWM peruntuk RM400 juta ganti lori roro baharu, tingkat kecekapan urus sampah

KLANG, 29 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntuk RM400 juta untuk penggantian lebih 1,400 unit lori roro 'arm roll' berteknologi Euro 5 secara berperingkat bermula Mei ini.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata berkata selain dilengkapi spesifikasi terkini untuk meningkatkan kecekapan kutipan sampah, penggunaan teknologi Euro 5 akan mengurangkan pelepasan karbon seiring agenda kelestarian alam sekitar.

“Sebelum ini, kita menggunakan lori berteknologi Euro 3. Ia berbeza dengan Euro 5 yang mengurangkan pelepasan karbon, sistem ekzos bagus serta tidak mengeluarkan bunyi yang kuat.  Lori baharu ini mampu mengurangkan gas karbon dioksida sehingga 30 hingga 40 peratus.

“Malah lori sedia ada juga sudah digunakan sekitar lima hingga ke tujuh tahun. Lori baharu ini lebih ringan ini dapat memuatkan kutipan sampah sekitar tiga hingga empat tan.

"Penggantian lori baharu ini memberi nilai tambah dan lebih kekuatan dalam jalankan operasi sekali gus meningkat kecekapan pengurusan sampah,” katanya ditemui pemberita selepas majlis penyerahan lori tersebut, hari ini.

[caption id="attachment_698925" align="aligncenter" width="700"] Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Hap Seng Group Automotive Division Lee Weng Yew menaiki lori roro 'arm roll' model Mitsubishi Fuso yang dilengkapi teknologi Euro 5 di Hap Seng Star Bukit Tinggi Klang pada 29 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengulas lanjut, Ramli berkata pihaknya menyasarkan penggantian semua aset itu mencapai 80 peratus menjelang hujun tahun ini.

Katanya, 47 unit lori termasuk enam diterima hari ini akan diserahkan kepada sub kontraktor di kawasan Majlis Perbandaran Selayang Mei nanti.

“Untuk permulaan, model baharu ini digunakan di kawasan Selayang sebelum diperluas ke pentadbiran pihak berkuasa tempatan lain antaranya Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Sepang.

“KDEBWM mempunyai hampir 1,400 unit lori termasuk RORO dan kompaktor, namun kita jangka ada penambahan kenderaan menggunakan teknologi ini pada masa akan datang mencecah 1,500 hingga 1,600 unit,” katanya.

[caption id="attachment_698926" align="aligncenter" width="700"] KDEB Waste Management (KDEBWM) menerima enam unit lori roro 'arm roll' model Mitsubishi Fuso yang dilengkapi teknologi Euro 5 di Hap Seng Star Bukit Tinggi Klang pada 29 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.