ad
AGENDA

BSMM adakan vigil hormati petugas Palestin terkorban

29 Apr 2025, 9:48 AM
BSMM adakan vigil hormati petugas Palestin terkorban

KUALA LUMPUR, 24 April 2025 – Genap sebulan selepas sembilan petugas Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dilaporkan hilang di Gaza, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) telah mengadakan majlis solidariti dan peringatan di Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM — satu penghormatan kepada lapan anggota PRCS yang disahkan terkorban ketika menjalankan tugas kemanusiaan di Rafah pada 23 Mac 2025.

Majlis tersebut telah dipimpin oleh Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Kebangsaan BSMM. Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengelola BSMM, kakitangan, sukarelawan, ahli belia serta wakil daripada Pejabat Serantau Asia Pasifik, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Pasukan PRCS ketika itu sedang bertugas dalam kenderaan ambulans yang jelas dan memakai lambang yang diiktiraf antarabangsa — simbol yang melambangkan berkecualian dan di bawah perlindungan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA). Kehilangan mereka menggariskan betapa pentingnya memastikan perlindungan undang-undang ini dihormati dan dipatuhi dalam setiap keadaan konflik.

Sepanjang majlis, para pemimpin dari BSMM, IFRC dan ICRC, bersama kakitangan dan wakil belia menyampaikan mesej refleksi terhadap keberanian dan pengorbanan mereka. Burung merpati putih turut dilepaskan sebagai simbol keamanan dan kemanusiaan, diikuti dengan satu minit tafakur sebagai tanda penghormatan dan renungan.

Majlis solidariti ini turut menjadi peringatan terhadap ancaman yang semakin meningkat terhadap petugas kemanusiaan di seluruh dunia. Sepanjang tahun 2024 sahaja, seramai 32 petugas Palang Merah dan Bulan Sabit Merah terkorban ketika menjalankan tugas termasuk dari Bulan Sabit Merah Palestin, Bulan Sabit Merah Sudan, Bulan Sabit Merah Iran, Bulan Sabit Merah Algeria, Palang Merah Ethiopia, Bulan Sabit Merah Arab Syria dan Palang Merah Republik Demokratik Congo.

Lebih membimbangkan, lebih daripada 350 petugas kemanusiaan terbunuh di seluruh dunia pada tahun 2024 — 95% daripadanya adalah petugas tempatan. Dengan 377 kematian dilaporkan di 20 negara, tahun 2024 menjadi tahun paling getir dalam sejarah bagi petugas kemanusiaan.

Tahun 2025 menyaksikan situasi konflik yang berterusan, mengorbankan lapan anggota PRCS, seorang dari Bulan Sabit Merah Sudan dan seorang lagi dari Palang Merah Republik Demokratik Congo.

BSMM bersama seluruh Gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa menyeru tindakan segera masyarakat antarabangsa untuk memastikan perlindungan petugas kemanusiaan, selaras dengan Konvensyen Geneva dan rangka kerja UUKA yang berkaitan. Perlindungan terhadap petugas kemanusiaan mesti dihormati dalam apa jua keadaan. Menjamin keselamatan mereka bukan sahaja satu tanggungjawab undang-undang di bawah Konvensyen Geneva, tetapi juga satu tuntutan moral yang tidak boleh diabaikan.

Ini bukan sekadar detik untuk berkabung — ini adalah satu seruan mendesak untuk tindakan.

Di sebalik kehilangan yang amat menyayat hati ini, kita berdiri bersama dalam kesedihan, ingatan dan bertekad untuk #LindungiKemanusiaan.

DATO’ DANIAL ISKANDAR ABDUL RAHMAN

Setiausaha Agung

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.