ad
AGENDA

Kebakaran Putra Heights: Lebih 150 mangsa terima bantuan sewa rumah

29 Apr 2025, 3:36 AM
Kebakaran Putra Heights: Lebih 150 mangsa terima bantuan sewa rumah

KUALA LANGAT, 29 APRIL: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan bayaran sewa rumah selama tiga bulan kepada lebih 150 keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya setakat ini.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata bantuan sebanyak RM2,000 sebulan itu disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) secara pemindahan terus ke akaun mangsa yang terlibat.

“Ahad lepas saya maklum 70 keluarga mangsa sudah terima dan kemas kini data terbaru terdapat tambahan lagi dengan jumlah keseluruhan lebih 150 keluarga sudah menerima bantuan sewa setakat ini.

“Arahan Dato’ Menteri Besar adalah untuk memastikan bantuan ini terus dimasukkan ke dalam akaun mereka. Sebanyak tiga bulan bantuan, iaitu RM6,000, telah disalurkan secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Krematorium Moden di Kuala Langat di Quayside Mall di sini hari ini.

Mengulas berhubung pembinaan rumah, Borhan berkata ia masih dalam perbincangan dan perkara berkenaan akan diumumkan Dato’ Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.

“Untuk bina baru masih dalam perbincangan lagi nanti Dato’ Menteri Besar umumkan sebab kita ada beberapa kategori kemusnahan rumah yang harus dikaji sama ada kerosakan keseluruhan atau kecil.

“Dato’ Menteri Besar sedang berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata seramai 396 ketua isi rumah yang terlibat dalam insiden kebakaran di Putra Heights layak menerima bantuan sewa rumah selama enam bulan dengan bayaran RM2,000 sebulan.

Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur lebih daripada 40 peratus, 81 rumah lagi separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, dan 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.