SHAH ALAM, 28 APRIL: Anak yatim yang dipercayai dianiaya termasuk dikurung dalam ruang sempit di sebuah rumah kebajikan persendirian di Cheras kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari memaklumkan JKM diberikan hak penjagaan kepada mereka selama dua bulan atau sehingga waris ditemui.
"Anak-anak yang belum dikenal pasti warisnya dibawah jagaan sementara JKM dua bulan. Namun anak-anak ini akan diserahkan kepada waris sah sekiranya layak menjaganya.
"Buat masa ini, rumah kebajikan ini disita dan polis sedang menjalankan siasatan," katanya selepas merasmikan Selangor Care Accelerator 2025 (XCare) di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular video 18 anak yatim dipercayai dianiaya termasuk dikurung dalam ruang sempit di sebuah rumah kebajikan persendirian di Batu 9, Cheras dekat sini.
[caption id="attachment_698731" align="alignleft" width="500"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bercakap kepada media pada majlis pelancaran Program Selangor Care Accelerator (XCARE) 2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 28 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Bagaimanapun, semua kanak-kanak berusia 5 hingga 17 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan enam kanak-kanak perempuan itu diselamatkan JKM.
Susulan kejadian, suami isteri yang juga pemilik dan penjaga rumah perlindungan berusia 68 dan 66 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Anfaal berkata Kerajaan Negeri memandang serius penularan jangkitan AIDS dalam kalangan remaja.
“Kita memandang serius perkara ini termasuk berkaitan isu sosial seperti dadah. Saya berhasrat mendapatkan data terkini daripada polis Selangor supaya Kerajaan Negeri dapat tanganinya berdasarkan maklumat diberikan.
“Bagaimanapun, untuk AIDS kita akan jalankan kerjasama bersepadu terutama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam memberi pendedahan bahayanya jangkitan ini…bukan hanya libat kebajikan dan pembangunan keluarga sahaja,” katanya.