Oleh Nurliyana Farhah Ruslan
MADINAH, 28 APRIL: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan mematuhi peraturan had muatan bagasi yang ditetapkan syarikat penerbangan sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi mengelak sebarang kesulitan ketika proses daftar masuk di lapangan terbang.
Pengurus Terminal Madinah Muhammad Fairus Ahmad Aripin berkata setiap jemaah hanya dibenarkan membawa bagasi mengikut spesifikasi ditetapkan termasuk berat maksimum serta tidak membawa barang berbahaya dan terlarang.
“Terutamanya macam pengecas mudah alih (power bank), jemaah diingatkan untuk tidak meletakkannya dałam bagasi yang didaftar masuk, selain diingatkan untuk tidak membawa ubat-ubatan yang mengandungi bahan terlarang atau dadah berbahaya tanpa pengesahan perubatan kerana ia boleh mengundang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya di sini.
Beliau berkata pematuhan terhadap peraturan itu penting bagi menjamin keselamatan penerbangan dan mengelakkan kelewatan atau masalah ketika daftar masuk.
Selain itu, Muhammad Fairus turut mengingatkan jemaah untuk memastikan semua beg bagasi yang dibawa ke Tanah Suci dilekatkan tanda pengenalan mengandungi maklumat peribadi supaya tidak berdepan masalah termasuk kehilangan selain tertukar bagasi dengan jemaah lain.
Beliau berkata 14 petugas pasukan Unit Terminal Madinah telah bersiap sedia menyambut kehadiran kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang dijangka tiba 7.50 pagi esok di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa 31,600 jemaah melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines pada musim haji 1446H/2025.
- BERNAMA