ad
AGENDA

Penunggang motosikal maut kemalangan lima kenderaan

28 Apr 2025, 10:05 AM
Penunggang motosikal maut kemalangan lima kenderaan

JOHOR BAHRU, 28 APRIL: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 1.6 Lebuh Raya Utara Selatan menghala pusat bandar di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Supt Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal jenis Honda Wave berusia 23 tahun yang dari arah Kempas ke Johor Bahru, hilang kawalan lalu terbabas di lorong kanan pada kira-kira 6.25 pagi.

“Kemudian, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Xmax dan pemandu Toyota Vios menghentikan kenderaan mereka untuk membantu mangsa namun kereta Toyota Vios telah dilanggar daripada belakang oleh sebuah kereta Honda City.

“Bagaimapun, tiba-tiba datang kereta Subaru Impreza dipandu lelaki warga Singapura yang bergerak di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa yang sedang terbaring di atas jalan raya, dia turut terlanggar penunggang motosikal Yamaha XMax, kereta Toyota Vios dan kereta Honda City,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrul Hisham berkata penunggang motosikal Honda Wave disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal Yamaha XMax patah kaki kanan dan sedang menerima rawatan di zon kuning Hospital Sultanah Aminah di sini.

Kemua pemandu kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan serius, katanya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pada masa sama, kita memohon orang awam yang melihat kejadian agar tampil ke Balai Polis Trafik JBS atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791,” katanya.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.