Oleh MUHAMMAD REY HAZRIELL MOHD RIMY
SHAH ALAM, 28 APRIL: Selangor Half Marathon 2025 (SHM2025) yang akan berlangsung 14 Jun ini disasar disertai 3,500 peserta termasuk dari luar negara, kata EXCO Belia dan Sukan.
Najwan Halimi berkata setakat ini 3,200 penyertaan diterima termasuk dari 10 negara antaranya Jepun, Hong Kong, Brunei, Australia, Singapura dan Indonesia.
Beliau berkata kejohanan julung kali itu menawarkan hadiah wang tunai lebih RM30,000 selain lebih 50 cabutan bertuah.
"Kami menyasarkan penyertaan 3,500 peserta sebelum pendaftaran ditutup pada 15 Mei ini.
"Tiga kategori dipertandingkan iaitu 5 kilometer (KM) Fun Run, 10KM, dan 21KM (Half Marathon) serta kategori istimewa 10KM Remaja bagi peringkat umur 13 hingga 17 tahun," katanya pada sidang media SHM 2025 di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di sini hari ini.
Najwan berkata kejohanan itu bukan sahaja untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat tetapi juga mengangkat Shah Alam sebagai destinasi sukan pelancongan yang mesra keluarga.
Beliau berkata program itu turut mendapat kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, persatuan Olahraga Selangor serta Tourism Selangor.
Najwan menambah pihaknya akan mengeluarkan makluman dan pekeliling mengenai pertandingan serta penutupan jalan sempena kejohanan itu selewat-lewatnya dua minggu sebelum acara bermula.
[caption id="attachment_698782" align="aligncenter" width="1095"] EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi (tengah) ketika sidang media Selangor Half Marathon 2025 (SHM2025) di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada 28 April 2025. Foto Najwan Halimi[/caption]