Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 28 APRIL: Program laluan pantas (fast track) dan skim bantuan pembiayaan fleksibel ditawarkan Yayasan Peneraju membuka peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian.
Bekas pelajar Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, Hadif Nawfal M Zamri, 18, berkata minat mendalam terhadap subjek perakaunan mendorong beliau dan dua lagi rakan hadir ke siri jelajah Jom Explore! Why Not YP? yang bermula semalam.
[caption id="attachment_698763" align="alignleft" width="350"] Hadif Nawfal M Zamri[/caption]
“Saya berhasrat untuk mendapatkan gelaran akauntan bertauliah menerusi Asasi Perakaunan-Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) yang ditawarkan oleh Yayasan Peneraju.
“Alhamdulillah, ibu bapa saya juga tidak memaksa untuk menentukan pengajian apa yang perlu saya ambil. Mereka sangat memahami dan sentiasa menyokong minat saya,” katanya ketika ditemui pada program di Auditorium MBSA, di sini, semalam.
[caption id="attachment_698764" align="alignright" width="347"] Nur Sahirah Mohd Hudzaifah[/caption]
Sementara itu, Nur Sahirah Mohd Hudzaifah, 18, menjelaskan menyaksikan sendiri pengalaman ibu bapanya yang mengambil pengajian dalam ACCA menjadi motivasi untuk beliau menyambung dalam bidang sama.
“Saya lebih bermotivasi untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan ini kerana saya akui subjek ini tidak juga mudah namun, saya percaya dengan usaha dan sokongan dari ibu bapa tiada yang mustahil.
“Program sebegini juga sangat bagus dan membantu pelajar lepasan SPM khususnya golongan Bumiputera kerana peluang dan nasib setiap individu itu juga berbeza dan ia harus diteruskan untuk masa akan datang,” tambahnya.
[caption id="attachment_698765" align="alignnone" width="856"] Roshila Samsudin (kiri) dan anaknya Nur Aleesya Akemi Mohd Azhar[/caption]
Manakala Nur Aleesya Akemi Mohd Azhar, 18, pula berkata beliau mula berminat akaun selepas usaha gurunya yang memberi pendedahan mengenai bidang berkenaan.
“Guru perakaunan saya yang mula mendedahkan perkara tersebut kepada saya dan ia juga telah mendorong minat saya untuk menceburi bidang ini.
“Selain itu, skim bantuan pembiayaan fleksibel ditawarkan Yayasan Peneraju sangat bagus untuk pelajar lepasan SPM menyambung pengajian mereka,” katanya.
Ibu kepada Nur Aleesya Akemi, Roshila Samsudin, 47, berkata beliau dan suami serta keluarga sangat menyokong minat anak sulung itu untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kami sekeluarga datang dari Slim River, Perak ini juga atas inisiatif anak sendiri yang mengajak untuk hadir ke program ini yang bertempat di Shah Alam memandangkan kami tidak dapat mengikuti siri jelajah pada tarikh lain.
“Sekarang pun dah susah untuk jumpa skim bantuan pembiayaan seperti yang ditawarkan dengan kebanyakan pelajar lepasan SPM juga memperoleh keputusan cemerlang dan saya percaya dengan adanya bantuan ini dapat melahirkan lebih ramai warganegera Bumiputera yang berjaya,” jelasnya.