ad
AGENDA

Menteri: Had belian beras putih tempatan 10 kilogram dinaikkan kepada lima kampit

28 Apr 2025, 6:42 AM
Menteri: Had belian beras putih tempatan 10 kilogram dinaikkan kepada lima kampit
Menteri: Had belian beras putih tempatan 10 kilogram dinaikkan kepada lima kampit

SERDANG, 28 APRIL: Had pembelian beras putih tempatan 10 kilogram berharga RM26 kini dinaikkan kepada lima kampit bagi setiap transaksi berbanding dua kampit sebelum ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kelonggaran itu diberikan selepas mengambil kira permintaan dan keperluan semasa pengguna yang memerlukan, khususnya bagi ketua isi rumah (KIR) miskin.

“Sebanyak 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara setakat pertengahan April ini.

“Negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah agihan tertinggi. Langkah ini menjadi antara usaha penting kementerian untuk menjamin keterjaminan bekalan beras rakyat secara konsisten,” katanya.

[caption id="attachment_681593" align="alignleft" width="500"] Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ditemui media ketika Lawatan Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di Selangor Fruit Valley, Rawang pada 11 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) 2025 di Maeps, Serdang hari ini.

Sementara itu Mohamad berkata Jemaah Menteri turut menzahirkan pujian kepada KPKM, dan menyifatkan kawalan harga musim perayaan tahun ini sebagai antara yang terbaik dalam sejarah.

“Sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal lalu, kita menyaksikan kestabilan pasaran bagi barangan keperluan utama rakyat. Harga ayam, telur, sayur-sayuran, ikan dan daging kekal terkawal dan berpatutan, tanpa berlakunya lonjakan harga yang membebankan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata Program Semarak Syawal 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 30 Mac lalu menunjukkan kejayaan apabila mencatatkan nilai jualan mencecah RM21.43 juta, sekali gus melepasi sasaran asal RM20 juta.

Mohamad berkata program berkenaan membolehkan pengguna berpeluang mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri pada harga berpatutan dan turut membantu meningkatkan pendapatan petani dan usahawan agromakanan menjelang perayaan.

Program itu dilaksanakan di 262 lokasi seluruh negara termasuk Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, RTC serta Medan Niaga Satok di Sarawak, dengan penglibatan 9,005 usahawan tempatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.