ad
AGENDA

Petugas TH anjur bacaan Yasin, doa selamat mohon operasi haji lancar

28 Apr 2025, 1:11 AM
Petugas TH anjur bacaan Yasin, doa selamat mohon operasi haji lancar

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MADINAH, 28 APRIL: Petugas Tabung Haji (TH) bagi musim 1446H/2025M mengambil peluang melaksanakan bacaan yasin dan doa selamat di Ibu Pejabat TH di bangunan Roha Al-Madinah di sini.

Bacaan yasin itu diadakan selepas solat maghrib yang dipimpin Pengurus Ibadat Haji Madinah Ustaz Mohamad Zahir Hussin@Yusof.

Pengarah Operasi Madinah Affandi Abdullah berharap urusan operasi haji musim ini berjalan lancar dan semua jemaah serta petugas diberikan kesihatan yang baik sepanjang bertugas di tanah suci.

“Program tradisi ini biasanya dihadiri semua petugas di Pusat Perkhidmatan Operasi (PPO) Madinah. Alhamdulilah, sekarang ada lebih 60 petugas telah tiba dan bersedia untuk menyambut ketibaan atau kedatangan kumpulan jemaah haji Malaysia yang pertama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijangka tiba esok pada 7.50 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines.

Pelbagai program ibadah dan ziarah diatur TH untuk jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Madinah sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah bagi melaksanakan ibadah haji.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.