SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerjasama Pakatan Harapan (Harapan) dan Barisan Nasional (BN) perlu terus diperkukuh bagi menarik sokongan pengundi meskipun calon mewakili Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata kemenangan calon BN menunjukkan Kerajaan Perpaduan berada di landasan tepat, namun pentadbiran pusat perlu melihat semua sudut termasuk peratusan keluar mengundi yang rendah.
[caption id="attachment_698602" align="alignleft" width="392"] Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.[/caption]
"Kadar keluar mengundi kurang 60 peratus, ia memberi isyarat jelas perlunya kerjasama jitu pentadbiran di peringkat pusat untuk meyakinkan pengundi.
"Gunakannya sebagai petunjuk bahawa kerjasama politik perlu dikukuhkan apatah lagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah sudah semakin dekat.
“Keputusan kali ini tidak memeranjatkan memandangkan DUN Ayer Kuning memang kubu kuat BN. Nampak usaha dilakukan berjaya pertahankan kerusi namun akan datang perlunya kerjasama lebih kuat,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata Perikatan Nasional (PN) juga boleh menjadikan keputusan PRK Ayer Kuning sebagai kayu pengukur termasuk isu dibawa ketika berkempen hingga membolehkan BN memperoleh majoriti lebih 5,000 undi.
[caption id="attachment_698603" align="alignright" width="282"] Dr A Aziz Azizam.[/caption]
“PN kena teliti semula isu dibawa. Adakah isu digunakan membawa kesan kepada jumlah undi selain gerak kerja dilakukan mereka,” katanya.
Sementara itu pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata keputusan PRK Ayer Kuning menunjukkan perubahan landskap politik apabila sokongan kepada parti alternatif seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) semakin meningkat.
Menurut Dr A Aziz Azizam, blok-blok utama tidak boleh lagi memandang ringan perjuangan parti alternatif dalam pilihan raya akan datang kerana mereka telah membuktikan mampu membina kepercayaan pengundi.
“Perkembangan ini mencerminkan satu reaksi umum yang baik terhadap landskap politik yang dinamik dan kompetitif. Ini juga menunjukkan sistem demokrasi kita memberikan ruang yang terbuka untuk parti-parti kecil
“Secara keseluruhan, keputusan ini membawa kepada beberapa kesimpulan iaitu kerjasama Harapan-BN masih belum dapat meluaskan sokongan pengundi. PN pula terus menunjukkan kekuatan akar umbi dan menggambarkan ketahanan sokongan dimilikinya,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi. Beliau memperoleh 11,065 undi untuk menewaskan calon PN Abd Muhaimin Malek (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).