ad
AGENDA

Sultan hargai jasa warga TLDM, harap terus pamer kesetiaan, semangat juang tinggi

27 Apr 2025, 3:15 AM
Sultan hargai jasa warga TLDM, harap terus pamer kesetiaan, semangat juang tinggi

SHAH ALAM, 27 APRIL: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, selaku Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Ulang Tahun TLDM ke-91 kepada seluruh warga 'The Navy People' hari ini.

Dalam titah baginda menerusi hantaran di Instagram Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin berharap agar seluruh anggota TLDM terus mengekalkan adat dan tradisi serta menjadi pasukan barisan hadapan yang berwibawa dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.

"Baginda turut berharap agar setiap warga 'The Navy People' terus mempamerkan kesetiaan dan semangat juang yang tinggi terhadap perkhidmatan yang tercinta ini," titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga TLDM atas komitmen, keazaman, dan semangat berpasukan yang tinggi selama ini.

Selain itu, Sultan Selangor menitahkan seluruh rakyat di negara ini supaya memperingati dan mengenang jasa, perjuangan, serta pengorbanan warga tentera laut yang telah berbakti kepada negara.

Baginda juga mendoakan agar seluruh perwira dan srikandi negara sentiasa mendapat perlindungan dan kekuatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.