ad
BERITA UTAMA

Sasar 13,000 pengunjung meriahkan Festival Sawah Padi Sekinchan 2025

26 Apr 2025, 2:00 PM
Sasar 13,000 pengunjung meriahkan Festival Sawah Padi Sekinchan 2025

SABAK BERNAM, 26 APRIL: Kerajaan Negeri menyasarkan kira-kira 13,000 pengunjung memeriahkan Festival Sawah Padi Sekinchan 2025 yang berlangsung hari ini hingga esok.

Berlangsung di Terminal Sekinchan di sini, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata festival sawah padi itu juga merupakan yang pertama dianjurkan di Malaysia sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

“Festival ini bertujuan memberi pengunjung menikmati keindahan agropelancongan di anjung utara Selangor yang bukan sekadar pengeluar beras terbesar sebaliknya kaya dengan keindahan semula jadi yang tidak dapat disaksikan di bandaraya moden.

“Justeru, kita mengalu-alukan orang ramai di Selangor dan luar negeri termasuk pelancong untuk berkunjung ke festival ini sehingga esok kerana pelbagai aktiviti menarik diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Sawah Padi Sekinchan 2025 di Terminal Sekinchan yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Melihat kepada sambutan memberangsangkan, Suee Lim yang juga Ahli Dewan Negeri Sekinchan berkata festival itu bakal menjadi acara tahunan dalam kalendar pelancongan Selangor.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan selama dua hari bermula jam 7 pagi hingga 7 malam antaranya mengelilingi kawasan sawah padi menghijau dengan trem dan beca elektrik.

Selain itu, aktiviti menarik lain menanti pengunjung termasuk festival makanan, pasar palong, demonstrasi wau kapal dan pertandingan perhiasan wau mini.

Pagi esok turut diadakan larian sawah padi, saringan kesihatan, aktiviti kesukarelawanan kelestarian alam sekitar selain persembahan artis popular Aizat Amdan.

Menyasar kehadiran lapan juta pelawat, Tahun Melawat Selangor (TMS2025) menyediakan pelbagai aktiviti tarikan pelancong dengan Kerajaan Negeri berpotensi mencatat transaksi RM11.7 bilion.

Dalam Belanjawan 2025, RM8 juta disalur bagi persediaan rapi meliputi penyusunan pelbagai aktiviti, selain naik taraf kemudahan pelancongan demi merancak kehadiran pelawat ke sembilan daerah.

Lebih 100 program dan inisiatif dirancang sempena TMS2025 meliputi semua daerah babitkan sektor pelancongan ilmu, sukan, makanan dan minuman serta seni budaya dan warisan negeri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.