SABAK BERNAM, 26 APRIL: Festival Sawah Padi 2025 yang julung kali dianjurkan di negeri ini selama dua hari sehingga esok selari dengan pelaksanaan strategik Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan diberi kepada pembangunan kawasan luar bandar, pemodenan sektor pertanian dan mengukuhkan lagi ekopelancongan serta agropelancongan sedia ada.
“Festival ini juga dianjur untuk menghidupkan anjung utara Selangor sebagai kawasan pertanian moden dan pada masa sama mengekalkan agropelancongan sedia ada dengan menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
[caption id="attachment_698509" align="aligncenter" width="687"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) bersama EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan, Pembangunan Kampung Baru Dato’ Ng Suee Lim bergambar di kokpit kapal terbang pada Festival Sawah Padi Sekinchan di Terminal Sekinchan pada 26 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Sebab itu SABDA diwujudkan bukan kerana ingin mengubah struktur Sabak Bernam sebagai kawasan industri berat, kawasan perumahan padat tetapi mengubahnya secara berfasa supaya ia kekal sebagai gedung makanan Selangor dan aktiviti tradisi turun-temurun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Sawah Padi Sekinchan 2025 di Terminal Sekinchan di sini hari ini yang turut dihadiri EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim.
Dalam pada itu, Amirudin berkata festival berkenaan juga merupakan salah satu aktiviti Tahun Melawat Selangor 2025.
“Contohnya kapal terbang yang diletak di terminal ini kita buat sedikit inovasi atau satu nilai tambah walaupun kita kurangkan sedikit kawasan tanaman padi kerana mahu meletakkan ia (kapal terbang) disini.
“Tetapi di kawasan sekitar kita masih mengekalkan jelapang padi ini untuk memastikan rakyat memperoleh secara langsung iaitu merakam kenangan bersama kapal terbang di tengah sawah padi,” katanya.
Antara tarikan utama Festival Sawah Padi 2025 selama dua hari sejak pagi tadi adalah Travel Hunt Sekinchan, Larian Sawah Padi kategori 5 dan 10 kilometer, Festival Makanan oleh Usahawan Platform Selangor (PLATS) dan Pasar Palong.
[caption id="attachment_698508" align="aligncenter" width="688"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan, Pembangunan Kampung Baru Dato’ Ng Suee Lim bermain gendang pada Festival Sawah Padi Sekinchan di Terminal Sekinchan pada 26 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Turut diadakan ialah cabaran pacuan empat roda, pemeriksaan kesihatan oleh KPJ Healthcare, menaiki trem dan beca elektrik serta menikmati pemandangan sawah padi di bawah glamping yang disediakan.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkemuka tanah air Aizat Amdan selama dua hari dan persembahan kebudayaan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT).