ad
AGENDA

Sembunyi dalam almari, pura-pura pelanggan taktik warga asing dalam operasi Imigresen

26 Apr 2025, 9:00 AM
Sembunyi dalam almari, pura-pura pelanggan taktik warga asing dalam operasi Imigresen

PUTRAJAYA, 26 APRIL: Jabatan Imigresen Selangor menahan 23 pendatang tanpa izin menerusi Ops Selera dan Ops Gegar di premis hiburan di Puchong, semalam.

Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata kesemua yang ditahan dalam operasi bermula 6 petang itu adalah hasil pemeriksaan terhadap 37 individu oleh 18 pegawai imigresen Selangor.

“Tiga daripadanya ialah wanita warga Thailand, Vietnam dan Maghribi yang bekerja sebagai gadis pelayan manakala 16 lagi membabitkan pekerja lelaki warga Myanmar dan empat warga Bangladesh.

"Kesemuanya berusia 22 hingga 44 tahun dan mereka didapati sudah bekerja di sini lebih enam bulan. Ada cubaan meloloskan diri dengan bersembunyi di dalam almari dan berpura-pura jadi pelanggan ketika serbuan, namun berjaya digagalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka disyaki memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bukit Kayu Hitam, Kedah yang diuruskan ejen.

Khairrul Aminus berkata pihaknya turut mengeluarkan saman kepada seorang warga tempatan ketika operasi dijalankan.

Kesemua pendatang asing itu, katanya dihantar ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.