ad
AGENDA

Operasi LRT Bukit Jalil dilanjut hingga 12.30 tengah malam ini

26 Apr 2025, 6:00 AM
Operasi LRT Bukit Jalil dilanjut hingga 12.30 tengah malam ini
Operasi LRT Bukit Jalil dilanjut hingga 12.30 tengah malam ini

SHAH ALAM, 26 APRIL: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30 tengah malam ini sempena perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia dan konsert solo pertama Amy Search.

Rapid Rail Sdn Bhd menerusi kenyataan memaklumkan ia bagi menjamin keselesaan penumpang dan penonton kedua-dua acara berkenaan.

Menurut syarikat itu, stesen-stesen sambungan turut dilanjutkan bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.

“Sila guna kad Touch 'n Go bagi kelancaran perjalanan anda dan pastikan baki kad mencukupi,” maklumnya di Facebook.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur memaklumkan beberapa jalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup dan dilencongkan mulai 2 petang ini sempena perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim dan Sri Pahang FC malam ini.

Menurut ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa, penutupan dan lencongan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran aliran trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta penyokong yang hadir itu akan dilaksanakan hingga tamat perlawanan.

Berikut laluan yang terlibat:

  • susur Lebuhraya Shah Lama (KESAS) ke lampu isyarat SUKOM
  • lampu isyarat SUKOM ke arah Jalan Merah Cagar
  • Jalan Barat dari Lebuhraya KESAS
  • Jalan Barat/Jalan Radin, Jalan Barat/Lebuhraya KESAS
  • susur ke Jalan Barat dari arah Bulatan Lumba Kuda
  • susur Puchong Link ke Jalan Barat

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.