ad
AGENDA

PRK Ayer Kuning: 19 pusat mengundi dibuka 8 pagi ini

26 Apr 2025, 12:13 AM
PRK Ayer Kuning: 19 pusat mengundi dibuka 8 pagi ini

TAPAH, 26 APRIL: Kesemua 19 pusat mengundi dengan 63 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dibuka serentak 8 pagi ini.

Sebanyak 18 pusat mengundi akan dibuka hingga 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.

Proses pengundian hari ini melibatkan 31,281 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Penjumlahan undi pula akan berlangsung di Dewan Merdeka di sini dan keputusan rasmi dijangka diperoleh sekitar 9 malam ini.

Selasa lalu, 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi ketika proses pengundian awal PRK berkenaan.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS.

Mohamad Yusri akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pheng Lok.

Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November 2022 menyaksikan Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.