ad
AGENDA

Penonton Piala Malaysia akhir dinasihat tidak bawa bahan terlarang

25 Apr 2025, 2:07 PM
Penonton Piala Malaysia akhir dinasihat tidak bawa bahan terlarang

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Penyokong bola sepak yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/2025 antara Johor Darul Ta'zim FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok dinasihatkan tidak membawa masuk barangan terlarang.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata ia termasuk mercun, topi keledar, laser, sebarang objek tajam, payung, tongkat dan botol air.

Beliau berkata polis akan melakukan pemeriksaan badan dan beg penonton, sebelum dan selepas pintu masuk stadium.

“Bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perlawanan, polis menasihati orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam dan elakkan melalui jalan-jalan di sekitar stadium jika tidak bertujuan menonton perlawanan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai juga diingatkan supaya mematuhi segala arahan diberikan pegawai polis bertugas.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan atau individu yang cuba mencetuskan kekacauan serta provokasi melampau semasa perlawanan mahupun selepas tamat perlawanan.

“Mereka yang didapati melakukan perbuatan berkenaan boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) atau Seksyen 160 Kanun Keseksaan (Gaduh Gempar)," katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.