KUALA LANGAT, 25 APRIL: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dikenal pasti antara penyumbang utama peningkatan memberangsangkan gred purata sekolah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra berkata sekolah itu berjaya mencatat gred purata sekolah 4.90 dalam SPM 2024 berbanding 5.11 pada 2023.
Mohd Naudi Haqqi Ahmad berkata sekolah itu juga mencapai peratus kelulusan murid yang layak mendapat sijil adalah 97.39 peratus, disifatkan sebagai satu angka memberangsangkan dengan bilangan calon SPM seramai 230 orang.
“Bahasa Melayu meningkat dari segi kualitinya di mana kita telah capai 3.79 untuk gred purata mata pelajaran, meningkat berbanding 2023. Bahasa Inggeris mencapai gred purata mata pelajaran adalah 4.42.
[caption id="attachment_698384" align="alignleft" width="500"] Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra Mohd Naudi Haqqi Ahmad. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR / MEDIA SELANGOR[/caption]
“Subjek wajib lulus iaitu Sejarah juga menunjukkan peningkatan gred purata mata pelajaran sangat memberangsangkan iaitu 4.41 peratus dan peratus kelulusan adalah 97.39 peratus.
“Jadi tiga subjek ini adalah subjek utama di peringkat sekolah dan merupakan antara enam subjek utama dalam PTRS. Subjek lain dalam PTRS turut memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan,” katanya ditemui hari ini.
Menurutnya, pencapaian sekolah berkenaan dalam SPM 2024 yang menunjukkan peningkatan pastinya antara lain disumbangkan PTRS yang dianjurkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
“Dua bulan sebelum SPM kami adakan bulan pecutan akhir. Saya minta guru-guru di sekolah ini adakan jadual berfokus yang mana setiap guru yang masuk ke kelas tingkatan lima, perlu menghabiskan modul PTRS. Sebab itu saya kata PTRS ini ada sumbangannya dalam pencapaian SPM 2024 di sekolah kami.
“Walaupun kelas PTRS di sekolah ini terhad untuk 35 orang yang purata pendapatan keluarga di bawah RM5,000, tetapi modulnya diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang yang bermakna kesemua pelajar SPM di sekolah ini mendapat manfaat program itu.
“Cuma yang 35 orang itu ibarat anak angkat MBI dan PTRS, mereka mendapat di kelas percuma untuk enam subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan pada setiap petang Jumaat dan pagi Sabtu serta disediakan makan tengah hari ketika sesi kelas,” katanya.
Katanya, sekolah berkenaan juga mencatat dua pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran termasuk seorang pelajar yang terlibat dengan kelas PTRS.
PTRS adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 200,000 pelajar tingkatan empat dan lima disasar menerima program itu dalam tempoh lima tahun.
Menurut Amirudin PTRS dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama peningkatan bilangan pelajar di Selangor yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran SPM 2024.
Menurutnya, langkah intervensi menerusi program membantu peningkatan gred cemerlang dari 2,368 (3.65 peratus) tahun ini banding 2,005 calon (3.15 peratus) pada tahun lalu.