SHAH ALAM, 25 APRIL: Sejumlah RM1.3 juta nilai jualan pelancongan dicatat Tourism Selangor menerusi Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) 2025.
Berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) selama tiga hari bermula 17 April lalu, Pavilion Selangor turut menjadi tumpuan dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata sambutan diterima Matta Fair tahun ini sangat menggalakkan dan peningkatan nilai jualan menunjukkan petanda positif.
"Kita akan terus merancakkan pelaksanaan kempen dan aktiviti menarik sepanjang tahun bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa selain terus mempromosi Selangor sepanjang Tahun Melawat Selangor 2025," katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, menerusi penganjuran acara itu, Selangor menerima pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Reruai Pameran Terbaik bagi kategori Organisasi Pelancongan Negeri-STO).
Melibatkan 100 penggiat industri pelancongan ia merangkumi 30 reruai rasmi dan 70 pemain industri tempatan.
Antara produk pelancongan yang dipamerkan termasuklah penginapan, taman tema, pelancongan alam semula jadi dan agro, kebudayaan, pengalaman kulinari serta pelancongan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran).