Oleh Dewi Abdul Rahman
PETALING JAYA, 25 APRIL: Tanaman menerusi teknologi fertigasi berasaskan Internet untuk Segalanya (IoT) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)@PJ City Food Valley berjaya menuai 10 tan timun hanya dalam tempoh lima hari.
Pengurus operasi SelAgro Solutions Sdn Bhd Muhammad Mujib Mohd Nordin berkata, melalui penanaman sayuran itu juga, hasil hingga RM55,000 dapat dijana dalam tempoh 45 hari.
[caption id="attachment_698356" align="alignleft" width="347"] Pengurus Operasi SelAgro Solutions Sdn Bhd Muhammad Mujib Mohd Nordin[/caption]
Menurut Muhammad Mujib Mohd Nordin, sistem fertigasi pintar yang dilengkapi teknologi IoT digunakan sepenuhnya dalam pengurusan baja dan air untuk meningkatkan keberkesanan tanaman.
“Sasaran kami setiap polibeg mampu menghasilkan enam hingga lapan biji timun, dengan berat sekitar dua kilogram setiap polibeg.
“Jika cuaca baik, hasil tuaian boleh mencecah antara 70 hingga 80 tan atau kira-kira 40,000 polibeg dalam tempoh 45 hari. Dengan harga pasaran semasa antara 80 sen hingga RM1.20 sekilogram, kami menjangkakan hasil bernilai sekitar RM50,000 hingga RM55,000 bagi setiap 20,000 polibeg,” katanya kepada Media Selangor.
Ditemui di tapak projek di Pelangi Damansara di sini, Muhammad Mujib memaklumkan timun dijadikan tanaman selingan bagi menggantikan cili yang perlu direhatkan selepas enam bulan pengeluaran.
“Proses tanaman mengambil masa 45 hari, bermula dari penyemaian benih sehingga tamat kutipan hasil. Untuk memastikan kesuburan, kami menukar cili kepada timun sebagai tanaman sementara mengikut keperluan nutrisi.
“Pilihan tanaman lain seperti lobak putih atau rock melon juga ada, tetapi harga timun bulan ini dijangka lebih menguntungkan untuk alternatif penanaman,” ujarnya lagi.
[caption id="attachment_698357" align="alignnone" width="985"] Peserta Rosnah Bidin, 64, menunjukkan timun yang telah di petik menerusi projek fertigasi timun di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) sebelum penghantaran jualan di Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 25 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tahun lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan peruntukan RM100 juta oleh kerajaan untuk pelaksanaan projek INTAN-IPR menerusi kaedah Permintaan Untuk Cadangan (RFP) oleh syarikat swasta terpilih.
Inisiatif ini bertujuan membasmi kemiskinan, meningkatkan pendapatan rakyat, menjamin bekalan makanan yang mampan, dan membantu mengawal harga makanan di pasaran.