ad
BERITA UTAMA

Tuntut kembali makna Aidilfitri, perkukuh ukhuwah, tolak kebencian

25 Apr 2025, 5:00 AM
Tuntut kembali makna Aidilfitri, perkukuh ukhuwah, tolak kebencian
Tuntut kembali makna Aidilfitri, perkukuh ukhuwah, tolak kebencian

Oleh Marwan Bukhari A Hamid

“... Dia mengkehendaki kamu agar mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

[Al-Baqarah: 185]

Antara ciri penting Islam ialah segala kandungannya mengandungi kemaslahatan, tujuan dan hikmah buat manusia. Sekiranya solat disyariatkan untuk mengingati Allah serta mencegah pendirinya daripada perkara keji dan kemungkaran, puasa untuk mendapat ketakwaan, zakat untuk membersihkan diri daripada sifat bakhil dan membantu orang yang memerlukan, maka apakah makna hari raya Aidilfitri dalam Islam?

Setelah al-Quran menjelaskan bahawa tujuan puasa untuk mengasuh ketakwaan dalam diri seseorang muslim, ayat al-Baqarah: 185 yang disebut pada awal tulisan ini menjelaskan dua makna penting hari raya Aidilfitri iaitu membesarkan Allah dan bersyukur kepada-Nya.

Setelah tamat puasa, umat Islam disunatkan untuk bertakbir secara lantang yang kita namakan sebagai takbir raya. Takbir ini bermula sejak terbenam matahari hari terakhir Ramadan sehinggalah imam mengangkat takbiratulihram solat hari raya Aidilfitri.

Takbir bererti membesarkan Allah Yang Maha Agung. Disebabkan dalam diri manusia mempunyai nafsu yang berkecenderungan untuk membesarkan diri, maka kita sentiasa diperingatkan untuk bertakbir membesarkan Allah. Solat kita dimulakan dengan takbir dan seterusnya ia diulang sebut dalam setiap pergerakan solat.

Kita juga diajar oleh Rasulullah SAW untuk berzikir selepas kali solat, salah satu zikir adalah ungkapan Allahuakbar sebanyak 33 kali. Bilangan ini juga yang disunatkan untuk dibaca sebelum kita tidur. Setelah kita menamatkan pengembaraan kerohanian dalam ibadat puasa, kita diperintahkan lagi untuk membesarkan Allah.

Apa makna semua ini? Maknanya, kita hendaklah sentiasa beringat bahawa Allah Maha Besar yang membantu dan mempermudah urusan hidup kita. Dalam konteks hari raya Aidilfitri, kejayaan kita melaksanakan ibadat puasa juga adalah dengan bantuan Allah kepada kita. Tiada ruang untuk angkuh atau takjub dengan diri sendiri.

Selain itu, ibadat puasa dilakukan secara bersama dengan umat yang lain, sambutan hari raya juga begitu. Oleh itu, takbir juga mengandungi makna kemasyarakatan. Setiap kali kita bertakbir, kesombongan diri hendaklah diruntuhkan. Setiap kali bertakbir, perkauman sempit hendaklah dibuang, lalu merapatkan persaudaraan keimanan dan kemanusiaan.

Syukur

Selain arahan untuk bertakbir, ayat yang dibacakan tadi juga mengarahkan untuk bersyukur. Jadi, ada makna kesyukuran juga dalam sambutan Aidilfitri. Menurut Imam Ibn Ashur dalam tafsirnya, perintah bersyukur dalam ayat itu bukan sahaja dengan lisan, malah juga dengan perbuatan.

Contohnya, kita mengungkapkan kesyukuran dengan memberi sumbangan kepada jiran tetangga dan masyarakat yang memerlukan. Selain menyebut Alhamdulillah, kita juga mengungkapkan kesyukuran dengan menggembirakan ahli keluarga, sanak saudara dan orang yang sedang dalam kedukaan.

Kejayaan menyempurnakan ibadat puasa juga menyebabkan seseorang hamba bersyukur kerana puasa adalah ibadat yang sukar. Lagi-lagi seseorang muslim tidak hanya meninggalkan makan dan minum, malah juga menjaga lidah, telinga dan mata daripada bercakap, mendengar dan melihat perkara yang dilarang oleh Allah. Setelah berjaya melakukannya, sudah tentu layak untuk seseorang hamba bersyukur kepada Allah yang membantunya melaksanakan ibadat tersebut.

Menurut Ibn ‘Ashur lagi, antara tanda bersyukur juga adalah dengan memakai pakaian terbaik pada hari raya. Hal ini menunjukkan konsistensi Islam yang seimbang antara ukhrawi dan duniawi. Hari raya Aidilfitri untuk bergembira, maka berpakaian dengan pakaian terbaik juga digalakkan oleh Islam.

Namun, hal ini tidak menenggelamkan makna sebenar Aidilfitri yang berkait dengan membesarkan Allah dan bersyukur kepadanya sebagaimana telah diulas sebentar tadi. Oleh sebab itu, Ibn Rajab al-Hanbali berkata dalam Lata’if al-Ma’arif:

“Hari raya bukanlah untuk orang yang berpakaian baharu, tetapi hari raya untuk orang yang ketaatannya makin bermutu. Hari raya bukanlah untuk orang yang memperindah pakaian dan kenderaan, tetapi adalah untuk orang yang diampunkan dosanya.”

Itulah hakikat hari raya yang cukup mendalam. Namun, sekali lagi keseimbangan penting. Ibn Rajab menarik kita ke dataran penghayatan sebenar supaya kita tidak lalai sewaktu bergembira di hari raya, bukannya untuk menafikan sifat kemanusiaan kita untuk bersama-sama meraikannya dengan gembira.

Dalam masa sama, hari raya juga mempunyai makna kemasyarakatan. Mustafa al-Siba’i menyebut dalam karangannya tentang hukum dan falsafah puasa, antaranya ialah merapatkan hubungan antara hati manusia, melupakan kebencian antara antara manusia dan menjernihkan hubungan yang keruh.

Selain itu, makna kemasyarakatan yang penting bagi hari raya ialah mengenang hak golongan yang lemah. Sebab itu menurut al-Siba’i, zakat fitrah menjadi simbol hari raya aidilfitri dan korban pula simbol hari raya Aidiladha.

Demikianlah intisari makna hari raya Aidilfitri. Sejauh manakah kita merenung makna ini di celah-celah kegembiraan kita menyambut hari raya?

[caption id="attachment_698329" align="aligncenter" width="1077"] Jemaah ingin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada 31 Mac 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.