ad
AGENDA

Menteri: 85,000 pendeposit TH rayu tunai haji tahun ini

25 Apr 2025, 4:22 AM
Menteri: 85,000 pendeposit TH rayu tunai haji tahun ini
Menteri: 85,000 pendeposit TH rayu tunai haji tahun ini

ALOR SETAR, 25 APRIL: Lembaga Tabung Haji (TH) menerima 85,000 permohonan rayuan untuk menunaikan ibadat haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata permohonan tersebut akan dipertimbangkan bagi mengisi kekosongan jemaah yang tidak dapat mengerjakan ibadat disebabkan beberapa faktor antaranya masalah kesihatan.

"Rakyat kita sangat bersungguh untuk menunaikan ibadat haji dan setakat ini 85,000 pendeposit TH yang telah memohon rayuan dan sebilangannya akan mengisi kekosongan kalau ada (jemaah terpilih) yang menolak atas sebab sakit dan sebagainya," katanya.

[caption id="attachment_697635" align="alignleft" width="500"] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato' Dr Mohd Na'im Mokhtar berucap sempena majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji (KPH) peringkat negeri Selangor 1446H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau ditemui pemberita selepas Program Santuni Asnaf Sempena Sambutan Aidilfitri Majlis Belia Negeri Kedah dengan kerjasama Yayasan Taqwa di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Parlimen Kuala Kedah di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata kerajaan juga masih menunggu keputusan rayuan daripada kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji Malaysia sebanyak 10,000 lagi pada tahun ini.

"Kuota tambahan jemaah haji ini bukan Malaysia saja yang mohon tapi satu dunia, saya percaya kerajaan Arab Saudi akan mempertimbangkan permohonan ini.

"Saya tidak dapat menjangkakan bila dapat maklum balas tentang penambahan kuota ini tapi kerajaan akan sentiasa buat susulan dengan kerajaan Arab Saudi," katanya.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata lawatan kerja beliau ke Kedah hari ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI memperkasakan kesejahteraan ummah, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan golongan asnaf.

"Saya juga akan melawat guru pondok dan menyampaikan sumbangan kepada mereka sebagai sokongan kepada institusi pondok serta pelajarnya yang memainkan peranan penting dalam pendidikan dan dakwah Islam.

"Di bawah inisiatif Ziarah Al-Falah MADANI, saya akan menyerahkan dua rumah baharu kepada dua keluarga asnaf (di Baling) yang dibina melalui program Bait Al-Falah oleh Yayasan Taqwa," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.