SHAH ALAM, 25 APRIL: Tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik (vape) di negeri ini sedang diteliti secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat.
Berikutan itu, EXCO kesihatan berkata mesyuarat khas bersepadu akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi melihat keperluan tindakan berkenaan termasuk aspek penguatkuasaan, perundangan dan kesan terhadap sosio ekonomi.
Jelas Jamaliah Jamaluddin, perbincangan melibatkan pihak berkepentingan antaranya Pejabat Menteri Besar, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pentadbiran memandang serius isu ini dan akan memastikan pandangan semua pihak berkepentingan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.
[caption id="attachment_689385" align="alignleft" width="500"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin ditemui media selepas majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 28 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa sebarang keputusan yang bakal diambil akan berlandaskan kajian terperinci serta mengambil kira kepentingan kesihatan awam, keberkesanan penguatkuasaan dan kesejahteraan rakyat," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan dan JKNS berperanan penting terhadap mengawal selia pendaftaran, penjualan dan penguatkuasaan kawasan larangan merokok dan vape mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Manakala di peringkat negeri, lesen perniagaan dikawal selia oleh PBT. Buat masa ini, lesen yang dikeluarkan khusus bagi penjualan peralatan elektronik, bukan rokok elektronik atau cecair vape,” katanya.
Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sedia meneliti keperluan mengharamkan penjualan vape di negeri ini.