SHAH ALAM, 25 APRIL: Dua usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) yang terkesan akibat insiden letupan saluran gas di Putra Heights baru-baru ini ditawarkan penangguhan bayaran balik pembiayaan sehingga enam bulan.
EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata kelonggaran diberikan kepada usahawan terbabit bertujuan meringankan beban mereka sekali gus tanda solidariti.
“Setakat ini, kita hanya mengesan dua usahawan terkesan dengan kejadian letupan dan sedang cuba kesan sekiranya ada pembiaya lain turut menjadi mangsa.
[caption id="attachment_698268" align="alignleft" width="500"] EXCO Keusahawanan Najwan Halimi (tengah) bercakap kepada media pada Majlis Aidilfitri Bersama Usahawan bertemakan "Ikatan Lebaran, Bersama Diraikan" di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 24 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Untuk mereka, kita akan bantu beri moratorium sehingga enam bulan dan selepas itu akan lihat semula. Kita beri mereka fleksibiliti dalam buat pembayaran semula supaya tidak membebankan,” katanya.
Terdahulu, ditemui pada majlis Aidilfitri bersama usahawan Hijrah Selangor semalam, Mohd Najwan turut menyampaikan sumbangan kasih Hijrah Selangor kepada dua usahawan agensi tersebut masing-masing bernilai RM2,000.
Dalam pada itu, Mohd Khairul Amin Mohd Rashid,38, berkata inisiatif Hijrah Selangor memberi penangguhan bayaran balik dan bantuan membantu beliau sekeluarga meneruskan kehidupan.
Beliau yang mengusahakan pelbagai perniagaan antaranya sewa kanopi, rumah sewa dan kedai makan berkata biarpun nilai kerugian agak tinggi sumbangan diterima meringankan bebannya.
“Semua kanopi habis terbakar, 15 rumah sewa peninggalan arwah ayah turut musnah termasuk kedai makan. Sedih kerana sumber pendapatan terjejas.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk yang tinggal bersebelahan rumah selamat walaupun ketika kejadian ibu bersama abang dan kakak serta anak saudara bersembunyi di bilik air untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Bagi pengusaha sistem penggera keselamatan, Azrim Saari, 52, sumbangan Hijrah Selangor itu membuktikan keprihatinan dalam membantu usahawan.
[caption id="attachment_698307" align="aligncenter" width="1404"] EXCO Keusahawanan Najwan Halimi (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kasih kepada mangsa tragedi letupan gas Putra Height, Azrim Saari (dua kiri) ketika Majlis Aidilfitri Bersama Usahawan bertemakan "Ikatan Lebaran, Bersama Diraikan" di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 24 April 2025. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato' Saipolyazan M Yusop (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah (kiri). Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Ketika kejadian, saya sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung di Sungai Besar hanya seorang anak berada di rumah kerana bekerja. Sejurus dihubungi, saya minta anak selamatkan diri, pergi ke kawasan jauh.
“Alhamdulillah, tiada perkara buruk berlaku dan kini menunggu kontraktor yang dilantik Kerajaan Negeri untuk baik pulih rumah,” katanya yang menetap di Kampung Tengah, Putra Heights.
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi 1 April lalu meninggalkan kesan ketara dengan membentuk kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70×80 kaki.
Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500 meter dari lokasi.
[caption id="attachment_698284" align="aligncenter" width="1426"] EXCO Keusahawanan Najwan Halimi (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato' Saipolyazan M Yusop (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah (kiri) bersama usahawan Hijrah pada Majlis Aidilfitri Bersama Usahawan bertemakan "Ikatan Lebaran, Bersama Diraikan" di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 24 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]