SHAH ALAM, 24 APRIL: Seramai 200,000 pelajar tingkatan empat dan lima disasar menerima manfaat Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dalam tempoh lima tahun, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Sri Amirudin Shari berkata ketika ini seramai 130,000 pelajar sedang mengikuti program berkenaan dan Kerajaan Negeri berhasrat menambah mata pelajaran baharu dalam aliran Sains.
“Ia adalah satu usaha yang berterusan bagi menambah baik program dan pentabiran negeri akan terus meningkatkan angka ini untuk capai sasaran 200,000 dalam lima tahun.
“Kita juga akan menambah jumlah subjek Sains seperti Biologi, Fizik dan Kimia dengan melihat prestasi gred purata mata pelajaran (GPMP) aliran mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 meningkat,” katanya.
[caption id="attachment_698209" align="aligncenter" width="812"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menerima penghargaan dari Pengarah Pendidikan Selangor Dr Jafri Abu (dua, kiri) ketika majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 peringkat Selangor di Jabatan Pendidikan Selangor pada 24 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di sini, pagi tadi.
PTRS adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.
Selain pemberian modul, peruntukan termasuk elaun guru dan makan tengah hari kepada pelajar yang menyertai tuisyen ini.
[caption id="attachment_547277" align="aligncenter" width="815"] Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Dalam perkembangan lain, Amirudin yang juga EXCO pendidikan negeri memberitahu pihaknya tekad membantu pelajar tercicir (tidak hadir SPM) menduduki semula peperiksaan tersebut melalui sistem ulangan.
“Kebiasannya, SPM ulangan akan dilaksana pada Julai dan negeri akan mengenal pasti kelompok ini. Antara faktor mereka tidak hadir seperti tercicir ataupun meninggalkan sekolah lebih awal.
“Kita akan mencari pelajar tercicir melalui jaringan yang ada untuk menduduki semula SPM sebagai salah satu pintu peperiksaan yang penting untuk masa depan mereka,” katanya lagi.