ad

SPM 2024 terbaik dalam sejarah, bukti kualiti pendidikan semakin baik

24 Apr 2025, 9:29 AM
SPM 2024 terbaik dalam sejarah, bukti kualiti pendidikan semakin baik

OLEH MUHAMMAD HAZIQ ROSHIDI

KAJANG, 24 APRIL: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 disifatkan antara yang terbaik dalam sejarah, mencerminkan peningkatan kualiti pendidikan negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan dan intervensi yang dilaksanakan kementerian terhadap pelajar.

“Kualiti pendidikan kita semakin meningkat. Saya harap pencapaian ini memberi semangat kepada guru-guru untuk terus berbakti,” katanya ketika meninjau suasana pengumuman keputusan SPM di SMK Convent Kajang hari ini.

Fadhlina berkata, jurang kehadiran pelajar antara kawasan bandar dan luar bandar juga semakin mengecil, manakala prestasi subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah menunjukkan peningkatan.

Beliau turut menyeru semua pelajar agar terus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, tanpa mengira keputusan diperoleh.

“Jangan jadikan keputusan yang kurang cemerlang sebagai penamat. Teruskan belajar dan capai potensi diri,” katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan terus menambah baik sistem pendidikan dengan memberi tumpuan kepada aspek yang dikenal pasti menerusi analisis keputusan tahun ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.