SHAH ALAM, 24 APRIL: Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) bagi mengurangkan beban perbelanjaan menguruskan anak-anak orang kurang upaya (OKU) akan disalur 25 Jun depan.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata bantuan akan disalurkan kepada pemohon yang layak menerusi saluran pusat terapi dan panel yang dilantik.
“Pemohon yang lulus akan dimaklumkan kelulusan permohonan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan penyaluran bantuan akan bermula 25 Jun,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, Anfaal berkata pihaknya menerima sebanyak 3,599 permohonan dalam talian sehingga tarikh tutup pada 18 April lalu.
“Jumlah permohonan yang akan diluluskan masih dalam penilaian oleh Jabatan ANIS,” katanya.
Menurutnya, sejumlah RM500,000 diperuntuk tahun ini bagi menjayakan bantuan khas itu, menerusi manfaat sekali bayar maksimum sehingga RM 5,000 setahun bagi satu isi keluarga.
Antara objektif bantuan khas ANIS adalah membantu meringankan tanggungan kos terapi, pemulihan, pendidikan dan sara hidup waktu kecemasan seperti makanan tambahan atau ubat-ubatan bagi anak-anak OKU yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga yang memohon.
Selain itu, ia bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa atau penjaga anak-anak OKU yang ingin membeli peralatan khas atau mesin bagi tujuan pemulihan.