ad
AGENSI

Gemar membaca sejak kecil dorong remaja pinjam lebih 1,000 buku setahun di PPAS

23 Apr 2025, 2:00 PM
Gemar membaca sejak kecil dorong remaja pinjam lebih 1,000 buku setahun di PPAS
Gemar membaca sejak kecil dorong remaja pinjam lebih 1,000 buku setahun di PPAS
Gemar membaca sejak kecil dorong remaja pinjam lebih 1,000 buku setahun di PPAS

SHAH ALAM, 23 APRIL: Minat membaca seawal umur enam tahun mendorong seorang remaja meminjam buku di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebanyak 1,378 naskhah sepanjang tahun lalu.

Usaha Alif Zachary Mohd Arif, 13, itu membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai peminjam buku terbanyak sempena Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit peringkat Selangor.

Alif ketika ditemui berkata, beliau meminjam buku kira-kira 20 naskhah setiap hari di PPAS Sungai Udang, Klang dengan genre pilihan adalah novel ‘thriller'.

[caption id="attachment_698141" align="aligncenter" width="785"] Alif Zachary Mohd Arif, 13,[/caption]

“Daripada umur enam tahun saya sudah pergi ke perpustakaan. Waktu itu saya pergi senyap-senyap bersama kawan-kawan, tanpa pengetahuan ayah.

“Saya akan baca buku pada setiap masa terluang. Biasanya saya akan cuba habiskan satu buku setiap hari. Kebetulan perpustakaan pun dekat, dalam 30 meter sahaja dari rumah,” kata anak tunggal itu.

Sementara itu, peminjam buku terbanyak di Selangor bagi kategori dewasa, Nik Hasrol Hafiz Hashim, 39, mahu memberi contoh kepada dua anaknya selain enggan mereka dipengaruhi gajet.

Nik Hasrol yang meminjam buku sebanyak 674 naskhah sepanjang tahun lalu di PPAS Hulu Selangor turut menepis kesibukan kerja sebagai alasan untuk tidak membaca.

[caption id="attachment_698140" align="aligncenter" width="802"] Nik Hasrol Hafiz Hashim, 39,[/caption]

“Kami satu keluarga memang terapkan baca buku. Kami mahu ajar anak-anak sebenarnya. Kalau boleh dapat pinjam buku-buku setiap bulan.

“Saya selalu baca buku jenis pengetahuan am. Saya akan baca sebelum tidur, dapat setengah jam pun sudah cukup. Perlu jadikan rutin setiap hari,” kata kakitangan swasta ini.

Alif Zachary membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala Nik Hasrol menerima RM1,500 termasuk sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Kedua-duanya diraikan pada Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit peringkat Selangor sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.