ad
AGENDA

18 mangsa Putra Heights masih dirawat, 132 dibenar keluar hari ini

23 Apr 2025, 1:15 PM
18 mangsa Putra Heights masih dirawat, 132 dibenar keluar hari ini
18 mangsa Putra Heights masih dirawat, 132 dibenar keluar hari ini

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Seramai 18 mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya masih lagi dirawat di fasiliti kesihatan sehingga hari ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata 132 mangsa yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan swasta, sudah dibenarkan keluar setakat 12 tengah hari tadi.

“Setakat hari ini, tiada kemasukan baru dan tiada kematian. Kita bersyukur kerana tiada kematian dan juga tiada lagi mendapat rawatan di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Asia Tenggara, SEACare 2025 di sini hari ini.

[caption id="attachment_673992" align="alignleft" width="500"] Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA[/caption]

Dzulkefly berkata 150 mangsa yang cedera mendapat rawatan di hospital kerajaan dan swasta pada hari kejadian, 1 April lalu.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi itu, menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.