ad
AGENDA

Media dibawa masuk ke lokasi letupan paip gas Putra Heights Rabu depan

23 Apr 2025, 12:10 PM
Media dibawa masuk ke lokasi letupan paip gas Putra Heights Rabu depan
Media dibawa masuk ke lokasi letupan paip gas Putra Heights Rabu depan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Polis akan membawa pengamal media memasuki lokasi kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada Rabu minggu depan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lawatan itu bagi membolehkan pengamal media melihat sendiri kerja pengorekan tanah yang dilakukan di lokasi kejadian oleh pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata pada dasarnya kerja pengorekan berjaya menemukan paip gas yang meletup tetapi disebabkan cuaca tidak menentu kebelakangan ini, proses berikutnya terganggu.

“Kita masih mengalami kesulitan berikutan keadaan cuaca hujan setiap hari minggu ini menyebabkan banyak kerja yang perlu dilakukan terganggu.

[caption id="attachment_688964" align="alignleft" width="500"] Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. Foto BERNAMA[/caption]

“Kita akan anjur lawatan media ke kawasan itu pada Rabu hadapan untuk media melihat sendiri kerja yang dilakukan pihak berkuasa berkaitan dan melihat betapa kompleksnya siasatan di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 18 April lalu, Hussein dilaporkan berkata kerja pengorekan tanah hampir selesai dan pihaknya menjangkakan laporan awal siasatan teknikal berhubung insiden itu diperoleh dalam tempoh seminggu lagi.

Katanya kajian forensik sedang dijalankan oleh pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sebelum laporan awal dikeluarkan.

Hussein berkata sebahagian spesimen yang ditemui ketika kerja pengorekan sudah diambil pihak berkuasa terbabit dan kini usaha diteruskan bagi mencari serpihan lain akibat letupan yang boleh membantu mencari punca kejadian.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.