SHAH ALAM, 23 APRIL: Sejumlah 5,081 keluarga asnaf keluar kelompok kemiskinan sepanjang tahun lalu sekali gus tidak bergantung bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari berkata pencapaian itu hasil empat inisiatif dilaksana agensi itu menerusi program pembangunan asnaf yang terancang.
“Inisiatif yang dilaksana iaitu bantuan modal niaga dengan saluran agihan RM2.98 juta, sokongan keusahawanan (RM11 juta), insentif kerjaya (RM8.73 juta) dan bantuan dermasiswa pendidikan (RM48.68 juta).
[caption id="attachment_698060" align="alignleft" width="500"] Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari ketika sidang media di Menara Zakat Sultan Idris Shah pada 23 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Fokus kita bukan sekadar meringankan beban tetapi melahirkan generasi asnaf berpotensi dan mampu berdikari serta menyumbang semula kepada masyarakat selain tidak lagi bergantung bantuan zakat,” katanya pada sidang akhbar pengumuman prestasi kutipan dan agihan zakat hari ini.
Pada majlis sama, turut berlangsung pelancaran buku laporan kelestarian 2024 (Edisi Kedua) bertemakan Memperkasa Kehidupan. Turut hadir Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.
Menurut Mohd Khaidzir, edisi terbaharu itu menzahirkan komitmen berterusan LZS dalam menerapkan nilai kelestarian melalui pelbagai inisiatif seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui, perolehan mampan dan keselamatan makanan.
“Laporan ini turut menonjolkan usaha LZS mengarusperdana prinsip sosial dan tadbir urus dalaman dengan kerjasama rakan strategik,” ujarnya.