ad
AGENDA

Menteri: Sidang khas Dewan Rakyat suarakan pandangan mengenai isu tarif

23 Apr 2025, 10:34 AM
Menteri: Sidang khas Dewan Rakyat suarakan pandangan mengenai isu tarif
Menteri: Sidang khas Dewan Rakyat suarakan pandangan mengenai isu tarif

PUTRAJAYA, 23 APRIL: Sidang khas Dewan Rakyat 5 Mei ini menjadi platform kerajaan dan pembangkang menyampaikan pandangan mengenai isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atas Malaysia.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata sidang akan dimulakan dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi diikuti sesi perbahasan.

“Sesi perbahasan akan menyaksikan kedua-dua pihak penyokong kerajaan ataupun pihak pembangkang menyampaikan pandangan mereka (berhubung isu tarif timbal balas).

“(Ia kemudiannya) digulung oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

[caption id="attachment_639344" align="alignleft" width="500"] Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi pada 24 April 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Fahmi berkata ahli parlimen akan menerima pemakluman mengenai sidang khas itu hari ini.

Semalam, Anwar mengesahkan sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei ini bagi membincangkan isu tarif timbal balas AS yang dikenakan ke atas Malaysia.

Mengenai lawatan Tengku Zafrul ke Washington bagi membincangkan isu tarif balas, Fahmi berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari AS untuk memulakan siri perbincangan mengenai tarif tersebut.

“Kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan diumumkan. Kita perlu tunggu sehingga mereka pulang dan melaporkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 3 April lalu mengumumkan negaranya akan memperkenalkan tarif asas 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia berjumlah 24 peratus.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.