ad
AGENDA

DNA babi: KPDN, Jakim kerjasama keluarkan produk dari pasaran tempatan

23 Apr 2025, 9:20 AM
DNA babi: KPDN, Jakim kerjasama keluarkan produk dari pasaran tempatan

PUTRAJAYA, 23 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggunakan bidang kawal selianya untuk mengeluarkan produk makanan dari Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi (porsin), jika produk terbabit berada dalam pasaran tempatan.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata tindakan itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kedua-dua pihak juga telah mengadakan perbincangan berhubung perkara berkenaan.

“KPDN akan bekerjasama dengan Jakim dan agensi agama pada peringkat negeri bersandarkan kepada pengumuman badan halal Indonesia. Kita akan ambil tindakan segera menangani perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPDN di sini hari ini.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Jakim mengarahkan pengimport yang membawa masuk produk makanan daripada pasaran Indonesia yang mengandungi DNA babi untuk menarik balik produk terbabit daripada pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata arahan itu susulan pengumuman rasmi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia pada Isnin, berhubung penarikan balik produk terbabit.

Senarai produk boleh disemak menerusi https://bpjph.halal.go.id/detail/siaran-pers.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.