Oleh Nur Azyyati Omar
SHAH ALAM: 23 APRIL: Sebanyak 35 rumah di Taman Seri Alam, Saujana Utama terjejas selepas benteng kolam takungan berhampiran kawasan tersebut pecah pagi tadi, namun tiada pemindahan dilakukan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.30 pagi dan sepasukan anggota dengan satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik pasukan bomba tiba, air telah surut. Difahamkan benteng kolam tadahan pecah kira-kira jam 5.30 pagi. Keadaan diburukkan dengan hujan lebat berterusan selama beberapa jam.
"Namun tiada penduduk dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan," katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu Ahmad Mukhlis memaklumkan beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi ini.
Beliau berkata antara daerah terlibat ialah Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Subang Jaya dengan 86 rumah terjejas, namun tiada mangsa dipindahkan.