SHAH ALAM, 23 APR: Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) adalah usaha jangka panjang memajukan amalan ekonomi pusingan menerusi aktiviti kitar semula, kata EXCO alam sekitar.
Jamaliah Jamaluddin berkata fasa satu SELKitar memfokuskan kepada ekonomi pusingan, pengasingan sisa dari sumber dan tanggungjawab bersama pihak berkepentingan.
Menurutnya, sebagai negeri paling maju dan paling ramai penduduk di negara ini, Selangor menjana lebih 7,000 tan sisa pepejal setiap hari dengan sebahagian besar daripadanya masih berakhir di tapak pelupusan.
“Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri menjadikan pengurusan sisa mampan sebagai asas strategi alam sekitar negeri.
“Ia memberi keutamaan kepada pengasingan dari sumber, memajukan amalan ekonomi pusingan dan memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memacu perubahan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
[caption id="attachment_695251" align="alignleft" width="500"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas menyantuni mangsa kebakaran paip gas di Dewan Camelia, Putra heights, Subang Jaya pada 6 April 2025.Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurut Jamaliah, Selangor menerusi KDEB Waste Management (KDEBWM) semalam memeterai kerjasama dengan Nestle Malaysia bagi memperkasa kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah di bawah SELKitar.
“Ia dijangka bermula Mei ini, di beberapa kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
“Program SELKitar merupakan fasa baharu di bawah Projek Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu (Projek SAVE) yang diperkenal Nestle sejak 2020,” katanya.
Selain itu, menurutnya, dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Kerajaan Negeri mula beralih daripada model ‘kutip dan lupus’ kepada pendekatan berfokuskan kitar semula berasaskan kecekapan sumber, pemulihan nilai dan tanggungjawab warga.
Katanya, fasa satu program SELKitar melalui kerjasama antara KDEB Waste Management dan Nestlé Malaysia, langkah penting yang mencerminkan kelestarian bukan sekadar slogan, tetapi mewujudkan ekosistem yang berfungsi untuk semua pihak.
“SELKitar bukan sahaja satu dasar alam sekitar kukuh untuk Selangor, tetapi mencerminkan pendekatan baharu yang melibatkan komuniti dalam pengurusan sisa secara berterusan.
“Ia turut membawa visi jangka panjang, dengan infrastruktur disokong oleh pendidikan, kesedaran dan perubahan tingkah laku.
“Kita bukan sekadar memperkenal tong kitar semula, tetapi cara berfikir baharu menyemai budaya ‘Selangor bersedia untuk kitar semula’, di mana tindakan terhadap alam sekitar bukan perkara sampingan, tetapi sebahagian daripada kebiasaan harian,”katanya.