ad
AGENSI

LZS sedia baik pulih, bina semula kediaman asnaf di Putra Heights

23 Apr 2025, 5:53 AM
LZS sedia baik pulih, bina semula kediaman asnaf di Putra Heights
LZS sedia baik pulih, bina semula kediaman asnaf di Putra Heights

SHAH ALAM, 23 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu 300 keluarga yang menjadi mangsa letupan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights dengan mengagih bantuan bencana berjumlah RM500.

Ketua pegawai eksekutifnya Mohd Khaidzir Shahari berkata bantuan bencana itu diagihkan kepada ketua keluarga pada minggu pertama sejurus insiden berlaku.

“Untuk bantuan awal ini hampir semua kediaman penduduk muslim terkesan menerima bantuan awal bencana RM500 dan kita telah agih kepada 300 keluarga.

“Selain itu, kita juga sedang mengesan mangsa lain yang tidak berdaftar di pusat pemindahan sementara dengan jabatan kerajaan supaya mereka juga menerima bantuan bencana,” katanya hari ini.

[caption id="attachment_698052" align="alignleft" width="500"]
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari ketika sidang media Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2024 di Menara Zakat Sultan Idris Shah pada 23 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Ditemui pada sidang akhbar pengumuman prestasi kutipan dan agihan zakat, beliau memaklumkan LZS juga akan menilai jumlah kerugian kerosakan setiap rumah yang terjejas akibat letupan itu.

“Kita ada semua nama penduduk yang rumahnya terkesan sama ada musnah sepenuhnya atau lebih 50 peratus. Berdasarkan data awal, kira-kira 166 asnaf kediaman mereka mengalami kerosakan, cuma belum muktamad lagi.

“Nilai kerugian kita akan koordinasi sejurus dibenarkan masuk kerana buat masa ini bomba tidak benarkan lagi agensi masuk. Kita akan tunggu pihak berwajib keluarkan data dan statistik.

“Sejurus dibenarkan masuk, kita akan keluarkan data, jumlah dan kerugian. Kita akan pastikan semua kediaman asnaf terlibat dibantu sama ada bina semula rumah atau baik pulih,” katanya.

Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi 1 April lalu meninggalkan kesan ketara dengan membentuk kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70×80 kaki.

Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500 meter dari lokasi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.