SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Selangor menerusi KDEB Waste Management (KDEBWM) memeterai kerjasama dengan Nestle Malaysia bagi memperkasa kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah.
Program menerusi SELKitar tersebut dijangka bermula Mei ini membabitkan kawasan kediaman bawah kelolaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama ini merupakan pra permulaan dalam inisiatif yang diperkenal Kerajaan Negeri dalam pembentangan belanjawan sebelum ini.
[caption id="attachment_697967" align="alignleft" width="500"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Menandatangani Usahasama antara Nestle Malaysia dan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 22 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Kerjasama strategik ini sejajar dengan keutamaan yang digariskan dalam Belanjawan 2025 untuk mengurangkan sisa di majlis perbandaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak kambus tanah.
“Di Selangor, kita berdepan cabaran, bukan cabaran membawa kemajuan tetapi cabaran berdepan pembangunan di mana 70 peratus lokaliti negeri adalah kawasan bandar,” katanya ketika berucap.
Terdahulu beliau menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir dan Nestle oleh ketua pegawai eksekutifnya Juan Aranols.
Program SELKitar merupakan fasa baharu bawah Projek Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu (Projek SAVE) yang diperkenal Nestle pada 2020 di beberapa negeri.
Projek SAVE menjadi inisiatif Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) sukarela terbesar di Malaysia dan kini sedang dilaksana membabitkan 200,000 kediaman di enam bandar raya utama.
Projek berkenaan turut diiktiraf oleh Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) serta Kementerian Alam Sekitar dan Air, Malaysia sebagai kajian kes utama bagi amalan terbaik meningkatkan tahap kitar semula.
[caption id="attachment_697968" align="aligncenter" width="1277"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan proses menandatangani dokumen di antara Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato Ramli Mohd Tahir (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia Juan Aranols (dua kanan) bagi kolaborasi program SELkitar KDEBWM bersama Nestle di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 22 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]