ad
AGENDA

PGA tumpas cubaan seludup 5,000 anak pokok merbau berpenyakit, ada serangga perosak

22 Apr 2025, 2:51 AM
PGA tumpas cubaan seludup 5,000 anak pokok merbau berpenyakit, ada serangga perosak

KOTA BHARU, 22 APRIL: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan penyeludupan 5,000 anak pokok Merbau menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di Rantau Panjang, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata anak pokok itu ditemukan selepas pasukan Batalion 7 PGA menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan, pada 8.30 malam berhampiran sebuah sekolah.

“Anak pokok itu disyaki diseludup daripada negara jiran dan pemeriksaan lanjut mendapati anak pokok terbabit mengandungi serangga perosak dan berpenyakit.

“Pemandu lori berusia 42 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan atau kebenaran, berhubung penghantaran tanaman berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata rampasan termasuk kenderaan digunakan dianggarkan bernilai RM550,000 telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

Beliau berkata PGA akan terus memperhebat operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan tumbuhan asing yang berisiko mengancam ekosistem dan keselamatan tanaman tempatan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.