SHAH ALAM, 22 APRIL: Bakal jemaah haji di Selangor yang layak dipelawa memohon bantuan wang tunai RM1,000 bermula hari ini sehingga 25 Julai depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Insentif Haji Muassasah yang menyasarkan 6,000 jemaah boleh dipohon menerusi pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Program Insentif Haji Muassasah adalah bantuan ibadah haji khusus buat para muslimin dan muslimah di Selangor yang layak. Insentif ini menawarkan sumbangan RM1,000 buat 6,000 jemaah negeri ini.
“Warga Selangor yang berminat untuk mendapat manfaat Insentif Haji Muassasah 1146H/2025 disarankan membuat permohonan di pejabat DUN atau menerusi penyelaras DUN masing-masing. Pastikan anda memohon mulai 22 April dan sebelum permohonan ditutup iaitu 25 Julai 2025,” katanya di Facebook.
Nilai insentif haji dinaikkan kepada RM1,000 mulai tahun lepas berbanding RM500 pada 2022 dan 2023 bagi meringankan beban jemaah membuat persediaan ke tanah suci.
Sejak 2022, seramai 12,000 jemaah dibantu oleh Kerajaan Negeri, iaitu 3,000 jemaah masing-masing pada 2022 dan 2023 manakala 6,000 jemaah menerima manfaat pada tahun lalu.
Insentif wang tunai RM1,000 diteruskan lagi tahun ini kepada 6,000 jemaah dengan peruntukan sebanyak RM6 juta.