KANGAR, 21 APRIL: Polis mengesahkan menerima laporan kejadian lelaki berusia 22 tahun dipercayai menyamar sebagai penolong pegawai perubatan di sebuah hospital di sini, yang video memaparkan lelaki itu lengkap beruniform seperti petugas kesihatan itu tular melalui platform media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihak polis menerima laporan mengenai penyamaran lelaki itu pada 9 April dan kini polis sedang menyiasat kes itu secara terperinci mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
“Untuk makluman awal pihak polis ada terima laporan. Siasatan sedang dijalankan pihak polis,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada pemberita hari ini.
Sementara tu Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan insiden penyamaran sebagai penolong pegawai perubatan oleh seorang lelaki yang tular di TikTok semalam, berlaku di pekarangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada 8 April lalu.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Ghazali Chik berkata kejadian itu berlaku pada 9.28 malam dan pelaku dikenal pasti sebagai orang awam berusia 22 tahun yang lengkap berpakaian seragam PPP serta membawa beg peralatan perubatan.
“Suspek mengaku membeli pakaian seragam PPP dan peralatan berkaitan menerusi platform dalam talian. Dia menyamar kerana mempunyai minat mendalam terhadap profesion itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
- BERNAMA