SHAH ALAM, 21 APRIL: Dua lelaki ditahan dipercayai terlibat menipu bayaran membabitkan penggunaan resit digital palsu di sebuah restoran di Seksyen 13, di sini 14 April lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek warga tempatan berusia 34 dan 35 tahun itu ditahan 2.50 pagi tadi di sekitar Shah Alam.
Beliau berkata polis menerima laporan daripada peniaga wanita berusia 35 tahun yang merupakan mangsa dalam kes itu, semalam.
Mohd Iqbal berkata mangsa memaklumkan kejadian berkenaan berlaku pada 10.18 malam apabila suspek menunjukkan resit transaksi digital berjumlah RM304.50 sebagai bukti pembayaran kepada makanan yang dipesan.
"Namun selepas semakan dibuat oleh wanita itu, tiada wang masuk ke dalam akaun perniagaannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Iqbal berkata mangsa juga mendakwa suspek telah melakukan jenayah sama sebelum ini menyebabkan kerugian bagi kedua-dua kes berjumlah RM348.10.
Beliau berkata bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan kedua-dua suspek yang masing-masing bekerja sebagai juruaudit sebuah syarikat di Paka, Terengganu dan bekerja sendiri.
“Siasatan mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau manakala suspek kedua turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya dan memaklumkan mereka ditahan reman empat hari hingga 24 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA