SHAH ALAM, 21 APRIL: Rata-rata individu menyokong inisiatif kerajaan untuk mengintegrasikan Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) bagi pengambilan lesen motosikal dan kereta.
Fatin Zafira Mohd Fadhli, 18, berkata langkah tersebut memudahkan urusan terutama kepada calon yang baru bercadang mahu mengambil lesen kedua-dua kenderaan tersebut.
[caption id="attachment_697803" align="alignleft" width="343"] Fatin Zafira Mohd Fadhli[/caption]
“Sebelum ini calon yang mahu mengambil lesen motosikal dan kereta mereka perlu menduduki kelas teori berasingan tetapi apabila disatukan nanti saya rasa ini satu inisiatif yang bagus.
“Menjimatkan masa calon tanpa perlu hadir kelas teori yang banyak dalam satu-satu masa,” katanya ketika ditemui Media Selangor di sebuah akademi pemanduan di sini, hari ini.
[caption id="attachment_697804" align="alignright" width="350"] I Kethiravan[/caption]
Guru memandu, I Kethiravan pula amat mengalu-alukan pelaksanaan integrasi berkenaan memandangkan ujian teori bagi kedua-dua lesen berkenaan hampir sama.
“Saya amat mengalu-alukan keputusan kerajaan kerana sebagai guru memandu saya lihat silibus hampir sama cuma dipecahkan dalam aspek penunggangan sahaja melibatkan motosikal.
“Sebenarnya inisiatif ini pernah dilaksana sebelum ini cuma ia dibubar selepas pembelajaran kereta automatik diperkenal. Bagi saya baguslah apabila ujian teori disatukan kembali,” katanya.
[caption id="attachment_697805" align="alignleft" width="343"] Luqman Danial Saridan[/caption]
Manakala Luqman Danial Saridan, 18, turut menyambut baik langkah itu menyifatkan ia menguntungkan calon yang bakal mengambil lesen bermula Ogos nanti.
“Inisiatif ini menjimatkan masa dan kos calon yang mahu mengambil lesen sebab mungkin harganya lebih murah kerana kelas teori sudah disatukan.
“Selain itu, calon juga tidak perlu berulang-alik banyak kali ke akademi memandu untuk masuk ke kelas teori berasingan, jimat masa dan tenaga, tempoh untuk dapat lesen juga mungkin tidak lama,” katanya.
[caption id="attachment_697806" align="alignnone" width="910"] Suasana pelajar menjalani latihan pemanduan di Akademi Memandu Molek, Seksyen 17, Shah Alam pada 21 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Kelmarin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan KPP01 yang sebelum ini berasingan untuk lesen motosikal dan kereta akan diintegrasikan dengan calon hanya perlu menduduki satu kelas teori sahaja berkuat kuasa 1 Ogos ini.