SHAH ALAM, 21 APRIL: Perjalanan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor menjelajah ke sembilan daerah menerusi program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) akan dibukukan, kata EXCO perpaduan.
Datuk Rizam Ismail berkata buku mewah (coffee table) itu memuatkan semua gambar aktiviti dilakukan Tengku Amir Shah bermula dari sesi pertama di Hulu Selangor dan terakhir di Gombak.
“Insya-Allah memori dan pengalaman indah dilalui Tengku Amir Shah akan dirakamkan selain merekodkan perspektif peribadi Baginda sepanjang berangkat ke sembilan daerah.
“Penerbitan buku ini akan dilaksanakan bersama pentadbiran negeri serta pihak istana. Semua aktiviti menarik akan dipaparkan dalam buku ini,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_678434" align="alignleft" width="500"] EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail pada sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 18 Disember 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, Rizam berkata GRS 1.0 yang berakhir minggu lalu berjaya menyantuni segenap lapisan masyarakat dari peringkat bayi hingga warga emas.
“Semua kawasan kampung juga kita masuk, tak tertumpu di bandar. Aktiviti juga bukan hanya di darat malah ada juga penganjuran aktiviti air seperti menaiki bot.
“Golongan kanak-kanak, pelajar sekolah, belia, pemimpin setempat sehinggalah ke usahawan kampung, masyarakat pelbagai etnik bahkan Orang Asli serta orang kelainan upaya turut disantuni,” katanya.
GRS diperkenal tahun lalu melibatkan peruntukan RM4.5 juta bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.
Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.
[caption id="attachment_660441" align="aligncenter" width="1031"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan hadir pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Klang 2024 di Stesen KTM Klang pada 28 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_648513" align="aligncenter" width="1138"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan beramah mesra dengan orang ramai dalam Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling di tapak Pasar Malam Seksyen 7, Shah Alam pada 19 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]