SHAH ALAM, 21 APRIL: Wakil rakyat Kota Kemuning menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau perkembangan projek mitigasi banjir di kawasan berkenaan.
Menurut S Preakas, pasukan yang dianggotai pihaknya, wakil penduduk, ahli majlis dan wakil Pejabat Menteri Besar akan memantau projek berkenaan yang dijadual bermula akhir Mei atau awal Jun.
Katanya, beliau diberi taklimat berhubung projek itu dalam pertemuan dengan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad, wakil penduduk serta wakil beberapa agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hari ini.
“Saya cadangkan untuk adakan satu 'taskforce' untuk tujuan (pantau projek mitigasi) banjir termasuk di Sri Muda, Bukit Kemuning, Kampung Baru Hicom, Kampung Bukit Lanchong, Kampung Lanchong Jaya dan Taman Alam Indah.
“Antara fokus (projek mitigasi itu) termasuklah projek naik taraf pam di kunci air Sri Muda dan kolam takungan. Selain itu buat kolam takungan baharu untuk salurkan air dari Kemuning Utama ke Sri Muda,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_697757" align="alignnone" width="827"] Suasana taklimat projek mitigasi banjir bersama wakil rakyat Kota Kemuning S Preakas, Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad, wakil penduduk serta wakil beberapa agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 21 April 2025. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad[/caption]
Mengulas lanjut, Preakas berkata pada pertemuan itu, wakil Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan supaya semua kerja disegerakan.
“Saya berterima kasih kepada semua agensi, Dato’ Menteri Besar kerana rayuan daripada penduduk diterima secara baik dan mereka beri satu komitmen untuk memastikan isu banjir di kawasan terlibat akan diambil tindakan secepat mungkin,” katanya.
Minggu lalu, beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi sekitar Puchong, Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.
EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata insiden banjir yang melanda susulan hujan lebat yang bertembung dengan febomena air pasang besar.
[caption id="attachment_696113" align="alignnone" width="879"] Keadaan banjir kilat yang melanda kawasan di Sri Muda pada 11 April 2025. Foto AFIX REDZUAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Pada Ogos tahun lalu, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan penambahan tiga unit pam skru baharu di pintu air Taman Sri Muda, mampu mengepam keluar air lima ganda, sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan berhampiran.
Menurutnya, memiliki kapasiti keseluruhan 5,100 liter sesaat, pam berkos RM7.1 juta yang siap sejak Mei tahun lalu juga mampu menyedut dan mengeluarkan segala sampah tanpa sangkut.
Katanya, pembinaan itu tambahan kepada tiga unit sedia ada, yang akan berfungsi dengan cekap untuk jangka panjang bagi mengalihkan lebihan air jika berlaku hujan lebat.