ad
AGENDA

Pemakaian lencana Jalur Gemilang tingkat rasa sayang kepada negara

21 Apr 2025, 3:00 AM
Pemakaian lencana Jalur Gemilang tingkat rasa sayang kepada negara
Pemakaian lencana Jalur Gemilang tingkat rasa sayang kepada negara

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah dapat menyemai semangat cinta dan sayang terhadap negara, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Amirudin menjelaskan semangat patriotisme harus dimulakan sejak di bangku sekolah sebagai asas untuk menanamkan rasa sayang kepada tanah air meskipun perkara itu nampak kecil.

“Mungkin perkara ini nampak remeh iaitu meletakkan tambahan (lencana) tetapi saya percaya ia sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan murid.

“Pemakaian lencana Jalur Gemilang ini merupakan satu pendidikan yang secara tidak langsung membantu meningkatkan tanda sayang kita kepada bendera Malaysia.

[caption id="attachment_697729" align="aligncenter" width="701"] Pelajar melafazkan ikrar dalam Majis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam pada 21 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

“Kita mungkin boleh tengok Jalur Gemilang di tiang bendera mahupun papan tanda tetapi apabila berada di tubuh, saya percaya ia mendekatkan diri terhadap bendera yang menjadi salah satu simbol menyatukan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan pendedahan awal seperti ini juga dapat menerapkan semangat perpaduan dan bersatu-padu dalam kalangan rakyat.

“Ia bersesuaian dengan cabaran global yang sangat perit dan hebat pada waktu ini, kita memerlukan semangat perpaduan dan sikap bersatu-padu yang sangat erat antara rakyat,” katanya.

Kementerian Pendidikan (KPM) membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak dua unit secara percuma bagi semua pelajar untuk sesi persekolahan 2025/2026.

Inisiatif ini susulan langkah KPM melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa mulai hari ini secara berperingkat.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.