OLEH TEOH YEE SHEN
SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan Negeri menjalankan kaji selidik terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menilai kesan dasar tarif baharu Amerika Syarikat.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata kaji selidik itu dilaksanakan oleh agensi promosi pelaburan negeri, dengan jangkaan selesai dalam masa dua minggu.
“Penilaian ini penting untuk mengumpul pandangan, kebimbangan dan cadangan daripada pelbagai pihak,” katanya dalam sidang media sempena sambutan Hari Wesak di tokong Maha Karuna Vihara, Elmina, semalam.
Jelas, Sze Han perkembangan dasar tarif oleh Presiden AS, Donald Trump, menyebabkan syarikat mengambil pendekatan "tunggu dan lihat", manakala impak dasar ini mungkin berbeza mengikut sektor.
"Ada yang mungkin menerima kesan negatif, dan ada yang mungkin mendapat manfaat," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan kaji selidik susulan pengumuman tarif semikonduktor oleh Amerika Syarikat yang dijangka memberi kesan kepada syarikat-syarikat tempatan.