SHAH ALAM, 20 APRIL: Majlis Sambutan Aidilfitri DUN Batu Tiga meriah apabila kira-kira 2,000 hadir menikmati pelbagai makanan dan minuman disediakan.
Selain menikmati juadah enak, tetamu bertuah menerima hadiah bagi pakaian tercantik dalam majlis bermula 2 petang di Dewan MBSA Kekwa di Seksyen 17 di sini.
Sementara kanak-kanak menerima duit raya sumbangan wakil rakyat Danial Al-Rashid dan isteri.
Majlis itu sepatutnya diadakan minggu lalu namun ditangguhkan berikutan banjir di Padang Jawa minggu lalu.
Antara juadah ialah lemang, rendang, sate, aneka sup dan tomyam, rojak buah, laksa serta minuman pelbagai perisa. Pengunjung turut dihiburkan kumpulan kompang Shah Alam.
Bercakap kepada pemberita, anak pelakon Harun Salim Bachik itu mengakui bimbang situasi hujan yang tidak menentu boleh mengganggu kelancaran majlis.
“Alhamdulillah, cuaca hari ini sangat baik, walaupun sebelah pagi tadi hujan. Kami mula 2 petang tapi 1.30 petang orang dah ramai. Kami faham, semua orang simpan perut untuk makan, silakan,” katanya.
Majlis yang diadakan dengan kerjasama MPP Zon 6 dan Zon 8 turut dihadiri antaranya Orang Besar Daerah Petaling Dato' Emran Kadir, Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof serta mantan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
“Sepanjang dua tahun ini, banyak kerjasama kita jalinkan. Dengan kerbersamaan dalam majlis ini dapat menghubungkan silaturahim dan program dapat berjalan lancar,” katanya.
[caption id="attachment_697706" align="aligncenter" width="1263"] Orang ramai memeriahkan sambutan Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga di Dewan Kekwa Seksyen 17, Shah Alam pada 20 April 2025. Foto REMY ARIFIN /MEDIA SELANGOR[/caption]