SHAH ALAM, 20 APRIL: Hasrat seorang bapa untuk membawa keluarganya menunaikan haji termakbul apabila beliau bersama isteri, lima anak dan dua menantu terpilih mengerjakan ibadah itu tahun ini.
Pesara, Mohamad Hatta Abd Latif, 60, berkata niat untuk membawa ahli keluarganya ke Tanah Suci mula terdetik sewaktu beliau menunaikan haji bersama ibu mentuanya pada 2008.
[caption id="attachment_697668" align="aligncenter" width="815"] Pesara, Mohamad Hatta Abd Latif, 60,[/caption]
“Masa itu saya hanya menemani ibu mentua kerana beliau ibu tunggal dan memerlukan mahram. Di sana saya memanjatkan doa supaya suatu hari nanti dapat bawa semua anak tunaikan haji.
“Alhamdulillah, pada 2009, saya daftar haji sekali lagi dan tahun ini dipanggil menjadi tetamu-Nya bersama isteri, anak-anak dan dua menantu,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pada Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor Musim 1446H/2025H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
[caption id="attachment_697615" align="aligncenter" width="800"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bersalaman dengan bakal jemaah haji ketika majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji (KPH) peringkat negeri Selangor 1446H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 April 2025. Turut bersama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mohamad Hatta berkata semua anaknya memiliki akaun Tabung Haji sejak mereka masih bayi selain turut membuat simpanan menerusi kaedah potongan gaji.
Menurutnya, hasrat beliau juga dibantu Allahyarham bapanya yang memberi bantuan dari segi kewangan bagi memastikan impian menunaikan haji bersama ahli keluarga tercapai.
“Sebenarnya saya juga memanjangkan hasrat bapa yang sebelum ini mahu anak-anaknya pergi bersama tunaikan haji. Allahyarham beri sedikit peruntukan sebelum meninggal dunia pada 2015,” katanya.
Sementara itu, anak bongsunya, Muhammad Hanif Mohamad Hatta, 20, mengakui terharu namun sedikit gementar untuk berangkat ke menunaikan haji di Tanah Suci.
Pelajar semester empat Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga bimbang tidak dapat cuti panjang dari pihak universiti.
[caption id="attachment_697666" align="aligncenter" width="777"] Pelajar, Muhammad Hanif Mohamad Hatta, 20,[/caption]
“Masa pertama kali dapat tahu saya rasa terkejut dan takut sebab fikir macam mana keadaan saya nanti, adakah saya sudah bersedia dan sebagainya.
“Syukur selepas ke kursus haji, saya rasa lebih tenang. Malah pihak UiTM juga beri cuti khas dan dapat kelonggaran tangguhkan satu semester,” katanya.
Mohamad Hatta bersama isteri, Nor Aini Ismail, 55, lima anak dan dua menantunya dijadual berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam kelima pada 30 Mei depan.